Warkah anakmu buat abah,
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh wahai abahku
Di kejauhan anakmu menyampaikan luahan
Adik di zon tengah, abah di selatan
Sanah helwah adik ucapkan
Genap usia 60 tahun Allah kurniakan
Tanggal 17 Mei detik sejarah dan kisah dilakarkan
Alhamdulillah Allahuakbar Subhanallah
Segala puji bagi Allah
Adik, abang dan kakak masih dikurniakan kesempatan
merasai limpahan kasih sayang dan perlindungan kedua-dua ibu bapa
sedari kami kecil sehingga dewasa
hinggalah saat kami menghirup nafas di muka bumi Allah ini
Dengarilah luahan hati anak kecilmu ini..
Abah,
Di atas rahmat Ilahi
Anakmu yang satu ini menikmati kehidupan tiada berpisah dari awal ku ke dunia
sampailah daku melanjutkan pengajian ke Universiti Putra Malaysia
Jauh beza berbanding kakak dan abang yang pernah berjauhan daripada kalian berdua
Adik sedari,
Abah yang hanya mencari rezeki dengan kemahiran buruh kasar
Tetap adik rasai lazatnya air tangan masakan dan pemberian abah
Walaupun kekadang adik tiada imbuhan mengucap sepatah dua kata,
Di dalam hati tetap adik berbual-bual mengatakan tidak dan ya
Juga merasa bangga dengan tiap ilmu yang abah ungkapkan
Sangat adik kagumi setiap tinta hasil abah nukilkan
Indah bahasanya, cantik tulisannya, hebat ilmu di dadanya
Namun,
adik tidak dapat memanifestasikan tiap bait penghargaan itu melalui fizikal kasih sayang yang dapat diperbuatkan
Hanya perbualan menjadi kebanggan dengan kawan dan teman
Tahukah abah,
setiap kali adik menyebut tentang abah
apa yang abah buat di rumah
adik cukup gembira.
Kerana tiada bapa lain selain abah yang begitu rupanya
Hanya abah seorang sahaja
Percayalah.
Ungkapan adik buat pertama kali ini cuma satu
Mewakili abang dan kakak yang pastinya
Adik amat dan sangat mengharapkan adanya secebis taufiq dan hidayah buat abah
Adik sentiasa berdoa agar suatu hari nanti..
adik diberi kesempatan menemukan abah, abah yang benar-benar abah
Ketahuilah
anakmu dahagakan impian yang satu itu.
Doa diungkap agar abah, emak, abang dan kakak
dikurniakan taufiq dan hidayah Allah
diberi kesejahteraan dan kesihatan yang baik
diringankan daripada bebanan kerja
diampuni segala dosa dan diterima amalnya
didoakan agar menghembuskan nafas yang terakhir nanti dalam keadaan khusnul khotimah
dalam keadaan iman
berjaya di dunia dan akhirat
sehingga akhirnya kita bertemu di syurgaNYA
Abah
dengarilah suara adik ini.
Ya Allah makbulkan doaku ini.
Catatan daripada Adik buat Abah.